Ada ejen tawar daftar Pelan Rekalibrasi PATI

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang urusan dengan ejen tertentu dalam hal berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, jabatan itu menerima maklumat ada cubaan pihak ketiga menawarkan perkhidmatan pengurusan pendaftaran untuk majikan.

“Ini termasuk Pelan Rekalibrasi PATI merangkumi Program Tenaga Kerja dan Pulang yang bermula 16 November tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, ejen itu kononnya mahu membantu majikan yang berhasrat menggaji PATI selain menguruskan PATI yang ingin pulang ke negara asal dengan dikenakan bayaran tertentu.

Beliau menegaskan, jabatan itu tidak pernah melantik mana-mana pihak luar untuk tujuan pengurusan PATI bagi pendaftaran dua program Rekalibrasi tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berurusan dengan ejen terbabit kerana pendaftaran program berkenaan boleh dibuat secara terus melalui laman sesawang www.imi.gov.my .

“Jabatan ini akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa kepada majikan berhubung Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” katanya..

Sesiapa yang cuba jadi ejen boleh didakwa mengikut Seksyen 7, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan akan dihukum denda tidak lebih RM200,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program itu boleh mengajukannya melalui Sistem Pertanyaan Online yang boleh dicapai di pautan http://eapp.imi.gov.my/spo .

Pelan pemutihan khas ini melibatkan kerjasama antara Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dengan pihak Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen. – UTUSAN ONLINE

The post Ada ejen tawar daftar Pelan Rekalibrasi PATI appeared first on Utusan Digital.