95 peratus rakyat Melaka patuh duduk rumah 

MELAKA: Hampir 95 peratus rakyat negeri ini patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila dilihat hanya keluar rumah pada waktu bekerja sebelum jalan mulai lengang selepas pukul 7 malam. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, perbezaan suasana itu dapat dilihat sepanjang dua hari pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Katanya, sejak pukul 7 pagi semalam, pihaknya juga tidak lagi mengeluarkan sebarang kompaun dan tiada kenderaan diarah berpatah balik atau cuba merentas daerah serta negeri tanpa dokumen. 

“Kita dapat melihat suasana di mana masyarakat negeri ini telah memahami SOP yang dikeluarkan apabila kira-kira 95 peratus daripada mereka kekal di rumah sebaik sahaja habis waktu bekerja. 

“Jalan akan mulai kosong selepas pukul 7 malam dan pergerakan bermula semula pada pukul 8 pagi keesokan harinya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini. 

Menurut Abdul Majid, pada tujuh jam pertama pelaksanaan SJR bermula 12.01 tengah malam semalam, sebanyak lima kereta dikompaun manakala 48 diarah berpatah balik kerana memberikan alasan tidak munasabah untuk merentas daerah termasuk ingin membeli makanan. 

Mengulas lanjut jumlah kenderaan pada waktu bekerja, beliau memberitahu jumlah itu dilihat lebih banyak berbanding pelaksanaan PKP pertama pada Mac 2020 disebabkan hampir kesemua sektor ekonomi kini dibenarkan berjalan seperti biasa. 

“Tetapi apabila kita buat penilaian bermula pukul 7 malam semalam, kenderaan-kenderaan ini telah tiada dan kebanyakan jalan kosong. Saya berpendapat objektif kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 menerusi PKP kali ini akan berhasil,” katanya. 

Meskipun begitu, beliau tetap menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membantu membendung penularan Covid-19 di negara ini.-UTUSAN ONLINE

The post 95 peratus rakyat Melaka patuh duduk rumah  appeared first on Utusan Digital.