45 individu dikompaun gagal patuh SOP di Kelantan

KOTA BHARU: Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini semalam menyaksikan 45 individu dikompaun pihak polis kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, kesalahan tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan iaitu sebanyak 36 kes.

“Kesalahan lain termasuk tidak mendaftar nama menerusi aplikasi MySejahtera yang merekodkan enam kes serta gagal mencatat nama dalam buku pendaftaran pelanggan, tiga kes.

“Tindakan mengeluarkan kompaun tersebut merupakan hasil pemantauan pihak polis yang dilakukan ke atas 1,333 premis di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shafien memberitahu, antara premis yang dipantau ialah pasar raya dan restoran, terminal pengangkutan awam, pasar, tempat ibadah, pusat riadah serta tapak pembinaan.

Selain itu katanya, sebanyak 2,333 kenderaan telah diperiksa di empat sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini dan daripada jumlah itu, 50 kenderaan telah diarahkan berpatah balik kerana tiada surat kebenaran rentas negeri serta mengemukakan alasan tidak munasabah.

“Satu SJR dilakukan di hadapan Balai Polis Bukit Yong (Pasir Puteh), dua SJR Gua Musang  (menghala ke Lojing serta Kuala Lipis) dan satu lagi SJR dilakukan di Jeli,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post 45 individu dikompaun gagal patuh SOP di Kelantan appeared first on Utusan Digital.