RM9.6 juta bantu 24,000 asnaf yang terkesan banjir, PKPB

KUALA TERENGGANU: Seramai 24,000 golongan asnaf di negeri ini bakal menerima bantuan khas bagi meringankan bebanan mereka susulan bencana banjir dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M. Rozi Bidin berkata, bantuan bernilai antara RM300 dan RM500 bagi setiap ketua isi rumah itu akan diagihkan secara berperingkat mulai 20 Januari ini.

Katanya, bantuan khas tersebut tidak membabitkan pemotongan bantuan bulanan dan sara hidup.

“Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf yang turut terkesan akibat bah di samping PKPB sekali gus membolehkan mereka membuat persiapan kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah.

Dalam perkembangan sama, M. Rozi berkata, kaedah pengagihan bantuan kepada kalangan penerima bergantung kepada jumlah tanggungan isi rumah.

“Mereka yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima sebanyak RM500 manakala kurang daripada tiga pula diberikan RM300,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post RM9.6 juta bantu 24,000 asnaf yang terkesan banjir, PKPB appeared first on Utusan Digital.