Prosiding Mahkamah Syariah dijadual semula

SHAH ALAM:Mahkamah Syariah Negeri Selangor akan menjadualkan semula semua prosiding semua kes yang ditetapkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam kenyataannya berkata, bagi kes-kes rayuan yang telah ditetapkan akan diteruskan bagaimanapun dilakukan secara dalam talian.

“Berkaitan wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan bagi kes-kes mendesak atau kes-kes yang mempunyai tempoh had masa boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan dan persetujuan bersama.

“Perkhidmatan runding cara juga akan dilaksanakan secara dalam talian telefon. Bagi perkhidmatan pendaftaran kes-kes baharu secara fizikal di kaunter mahkamah hendaklah dibuat dengan temu janji melalui panggilan telefon terlebih dahulu.

“Namun, pendaftaran terhad kepada kes-kes kategori mendesak iaitu melibatkan keganasan rumahtangga atau penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas kenyataan itu lagi, perkhidmatan kaunter bagi urusan-urusan lain juga ditangguhkan kecuali pemfailan dokumen yang melibatkan tempoh masa yang ditetapkan oleh undang-undang seperti alasan rayuan dan rekod rayuan.

“Semua temu janji yang telah dibuat melalui aplikasi temu janji perkhidmatan JAKESS sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa pula adalah dibatalkan dan perlu membuat temu janji yang baharu selepas tamat tempoh PKP,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKP untuk tempoh 14 hari bermula hari ini sehingga 26 Januari depan melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.- UTUSAN ONLINE

The post Prosiding Mahkamah Syariah dijadual semula appeared first on Utusan Digital.