Pelanggan pusat karaoke dikompaun gagal patuh SOP

LUMUT: Sebuah premis hiburan diarahkan tutup kerana beroperasi secara haram manakala tujuh pelanggan di dalamnya dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik Covid-19 di sini semalam.

Tindakan itu dilakukan selepas sepasukan Team Rondaan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung melakukan pemeriksaan Pematuhan SOP PKPP terhadap sebuah premis karaoke di Sitiawan dekat sini, kira-kira pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil pemeriksaan mendapati pelanggan berada dalam bilik dengan tiada jarak sosial manakala premis menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan yang sah.

“Oleh itu, sebanyak tujuh kompaun telah dikeluarkan terhadap pelanggan di bawah kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan (Peraturan 12) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2020 (NO. 9).

“Premis pula ditutup oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kerana tidak mempunyai lesen operasi hiburan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, pihak polis juga mengambil tindakan terhadap pemilik premis tersebut kerana beroperasi tanpa mempunyai lesen hiburan di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.

Beliau menegaskan IPD Manjung tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu dan premis yang didapati tidak mengikuti SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasa sekarang.-UTUSAN ONLINE

The post Pelanggan pusat karaoke dikompaun gagal patuh SOP appeared first on Utusan Digital.