Kes positif Covid-19 Perlis dijangka meningkat

KANGAR: Kerajaan negeri menjangkakan peningkatan kes positif jangkitan Covid-19 di Perlis berikutan terdapat 153 lagi sampel diuji yang masih menunggu keputusan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sebahagian besar daripada sampel tersebut adalah terdiri daripada kontak rapat kepada orang yang datang dari zon merah.

Katanya, apabila keputusan sampel tersebut diperoleh tidak lama lagi, mungkin akan berlaku peningkatan jumlah kes positif di negeri ini.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tidak berhasrat mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sendiri seperti di Sarawak kerana apa yang dilaksanakan di negeri ini sebelum ini berkesan.

“Bila kemasukan beramai-ramai ke Perlis sebelum ini telah membuka ruang kepada jangkitan kes. Tapi sekarang dengan adanya larangan merentas negeri, jumlah orang luar yang datang ke negeri ini juga sudah menurun,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) berkaitan pengurusan Covid 19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Azlan memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini dikekalkan seperti biasa mengikut yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun aktiviti perhimpunan tidak dibenarkan bagi perayaan Thaipusam pada 28 Januari ini.

“Kami mengambil kira risiko kerana kebiasaannya akan melibatkan perarakan. Jadi, perayaan ini boleh diadakan seperti biasa tetapi perhimpunan tidak dibenarkan,” jelasnya.

Mengulas mengenai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang disahkan positif Covid-19, Azlan berkata, Jabatan Kesihatan negeri dinasihatkan untuk membuat pengesanan kontak rapat ketika berada di negeri ini kira-kira 10 hari lalu.

“Kita akan mengambil maklum terhadap kemungkinan ada kontak rapat. Saya harap Jabatan Kesihatan dapat membuat pengesanan bagi mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut.

“Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan beliau sepanjang tempoh tersebut juga dinasihatkan menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 Pejabat Kesihatan Kangar,” jelasnya.

Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian tersebut pada 3 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE

The post Kes positif Covid-19 Perlis dijangka meningkat appeared first on Utusan Digital.