Industri kawalan keselamatan swasta dibenar beroperasi

PUTRAJAYA:  Industri kawalan keselamatan swasta dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata, kebenaran itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman premis-premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu sehingga 26 Januari ini.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap Industri Kawalan Keselamatan Swasta, pihaknya akan melakukan pemantauan yang ketat dari semasa ke semasa terhadap syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang beroperasi.

“Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan yang dapat dikesan,” katanya hari ini.

Sepanjang tempoh itu, kementerian akan memperkasakan penugasan semua agensi barisan hadapan di bawahnya bagi tujuan penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat.

Untuk maklumat lanjut mengenai kebenaran beroperasi itu, jelasnya, mereka boleh menghubungi Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri di talian 03 – 8886 8064.

-UTUSAN ONLINE

The post Industri kawalan keselamatan swasta dibenar beroperasi appeared first on Utusan Digital.